MOHAMAD Syeikhqul menunjukkan Anugerah Pekerja Cemerlang diterimanya sempena Hari Pos Sedunia Peringkat Negeri Perak di Pejabat Pos Sitiawan, Sitiawan. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


“KETIKA menghantar surat, saya pernah diminta seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang berkerusi roda membersihkan dirinya selepas membuang air besar,” kata penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia), Mohamad Syeikhqul Mazlan, 27.

Mohamad Syeikhqul yang juga kakitangan Pos Laju Kuala Kangsar antara empat kakitangan menerima anugerah berkenaan sempena sambutan Hari Pos Sedunia Peringkat Negeri Perak di Pejabat Pos Sitiawan, hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim dan turut dihadiri Pengurus Pos Malaysia Perak, Noorzuriha Haron Noh Rashid serta Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung, Datuk Shaharudin Nazari.

Mohamad Syeikhqul berkata, penghargaan itu diterima selepas membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang orang kena tahan (OKT) yang cuba melarikan diri daripada tahanan polis ketika menghantar surat ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, empat bulan lalu.

“Ketika itu saya menunggang motosikal dan berada kira-kira 100 meter dari pagar utama mahkamah sebelum menyedari seorang lelaki memakai baju lokap melarikan diri manakala beberapa anggota polis mengejarnya.

“Sebaik berada berhampiran lelaki itu, saya terus menendangnya sehingga OKT terbabit terjatuh dan lelaki itu bangun semula untuk melarikan diri dan kemudian berjaya ditahan polis,” katanya ketika ditemui di pekarangan Pejabat Pos Sitiawan.

Anak kelahiran Sayong, Kuala Kangsar berkata, sepanjang enam tahun berkhidmat bersama Pos Malaysia, pelbagai pengalaman dan kenangan sudah dirasainya.

“Dikejar anjing itu perkara biasa dan sebulan sekali mesti akan melaluinya, namun yang paling diingati ketika saya baru bekerja dahulu ada seorang pakcik OKU minta tolong bersihkannya selepas buang air besar.

“Kerana kasihan dan dasar prihatin saya membantu dia, bagi saya kepuasan bekerja apabila melihat senyuman pelanggan yang gembira menerima barangan atau surat yang ditunggu mereka,” katanya yang berbangga dapat berkhidmat untuk masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:23 PM