IZUDDIN menunjukkan koleksi figura tanah liat berbentuk watak raksasa dan animasi Jepun yang dihasilkannya di Pusat Kraftangan Malaysia cawangan Perak. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my


MINAT terhadap seni gubahan tanah liat sejak kecil mendorong pengusaha labu sayong, Izuddin Hisham, 26, menjana pendapatan sampingan dengan menghasilkan figura watak fiksyen khususnya raksasa dan watak animasi Jepun menggunakan tanah liat.

Lebih menarik apabila setiap figura dihasilkan sepenuhnya menggunakan tangan tanpa peralatan sokongan dan acuan serta setiap satu dijual pada harga bermula RM15 sehingga mencecah RM500.

Anak ketiga daripada empat beradik berkata, minatnya terhadap gubahan tanah liat bermula sejak tadika dan menjadi hobi di masa lapang sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Melaka Tengah, Melaka.

Katanya, berbanding watak adiwira yang kebiasaannya berbentuk manusia, dia lebih berminat terhadap rekaan raksasa yang diinspirasikan daripada siri Ultraman serta beberapa animasi Jepun lain seperti Digimon.

“Pada saya, reka bentuk raksasa lebih menarik berbanding watak adiwira kerana mempunyai bermacam bentuk seperti berkepala besar, bersayap, mempunyai tambahan kaki, berekor cabang, bersisik, dan sebagainya.

“Alhamdulillah keluarga khususnya ibu sangat memahami dan merestui keputusan saya dalam pembuatan figura raksasa tanah liat di samping menghasil serta memasarkan kraf lain khususnya labu sayong,” katanya ketika ditemui di Pusat Kraftangan Malaysia cawangan Perak, Kuala Kangsar, kelmarin.

Izuddin berkata, pencapaian akademik yang tidak begitu memberangsangkan ketika di sekolah menjadi faktor minatnya untuk mendalami kemahiran membuat kraf seramik melalui pengajian diploma di Institut Kraf Negara (IKN) Rawang, Selangor.

“Selepas menamatkan diploma, kemahiran saya diperkembangkan di pusat ini sebelum dapat mengusahakan pembuatan kraf tanah liat sendiri pada 2017, saya mula memasarkannya melalui edaran di beberapa premis sekitar Kuala Kangsar,” katanya.

Menurutnya, berbeza dengan penghasilan labu sayong, figura tanah liat dihasilkan mengambil masa lama kerana perlu benar-benar dipadatkan untuk pengeringan bagi mengelakkan bahagian dicantum menjadi rapuh.

Katanya, sambutan diterima agak menggalakkan apabila dapat menjualnya dengan purata 20 unit sehari yang rata-rata pembelinya adalah golongan kanak-kanak.

“Saya sedar ada pihak yang melabel saya seperti kebudak-budakan apabila menceburi pembuatan figura ini, namun saya tidak mengendahkannya kerana yakin ini boleh menjadi sumber pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 1:51 PM