DATUK Ahmad Yakob. FOTO Arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


KERAJAAN Kelantan menafikan dakwaan sudah menerima wang royalti minyak seperti yang didakwa oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, semalam.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebaliknya berkata, wang dimaksudkan oleh Guan Eng itu adalah wang ihsan membabitkan lebih RM15.7 juta.

Katanya, kenyataan berkenaan (wang itu adalah royalti) adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat.

“Yang diminta Kerajaan negeri adalah royalti minyak atau gas, yang diberi adalah wang ihsan.

“Yang dimaksudkan oleh Menteri Kewangan semalam adalah wang ihsan bukan royalti minyak, beza terlampau jauh, cuba rujuk balik kamus dewan (Dewan Bahasa dan Pustaka)

“Wang ihsan nak beri pun takpe, tak beri pun takpe, royalti hak kita, kewajipan hendaklah dibayar kepada Kerajaan Kelantan.

“Saya maklumkan kepada ahli dewan pada 17 September lalu sebanyak RM15,749,561.50 di bawah tajuk wang ihsan kepada Kelantan 2019,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) berhubung dakwaan Menteri Kewangan bahawa negeri ini sudah menerima wang royalti minyak.

Menjawab soalan Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) mengenai tunggakan royalti minyak yang belum dibayar, Ahmad berkata bayaran bergantung kepada hasil tahunan yang diperoleh.

“Contohnya di sini, pada 2017 yang sepatutnya diperoleh Kelantan adalah RM1.030 bilion.

“Ini dari sumber yang dipercayai yang diberi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Untuk keseluruhan saya perlukan notis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 1:20 PM