FOTO hiasan
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


SEORANG penuntut universiti menempuh detik hitam apabila dicabul lelaki warga asing ketika di dalam bas ekspres di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi, Dungun, semalam.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun dalam perjalanan dari Kemaman untuk ke pulang ke pusat pengajiannya di sebuah universiti di Kelantan, jam 12.50 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa duduk bersebelahan suspek warga Myanmar berusia 28 tahun yang memegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Menurutnya, setibanya di lokasi suspek dikatakan bertindak meraba tubuh dan pinggang mangsa.

“Ketika cuba memasukkan tangan ke dalam baju, mangsa menolak tangan suspek dan bertindak mengejut penumpang sebelah untuk menukar tempat duduk.

“Mangsa kemudiannya menghubungi bapanya lalu menceritakan perkara berkenaan.

“Susulan itu, bapa mangsa memaklumkan kepada pemandu bas,” katanya.

Menurutnya, pemandu bas kemudiannya meminta suspek menukar tempat duduk dengan segera.

“Pemandu bas kemudiannya membawa mangsa ke Balai Polis Bukit Besi untuk membuat laporan.

“Susulan itu, polis menahan suspek untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 12:19 PM