PREMIS pengurup wang dirompak sekumpulan lelaki (gambar kecil) bersenjatakan parang dan kapak. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my


PREMIS pengurup wang kerugian lebih RM50,000 selepas disamun lima lelaki di sebuah pasar raya di Port Dickson, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan kejadian samun bersenjatakan parang dan kapak dipercayai dilakukan lima lelaki yang masuk ke premis dengan menutup muka kira-kira jam 4.30 petang.

“Siasatan awal mendapati, ketika kejadian tiga pekerja berada dalam kedai sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki mengetuk cermin keselamatan kedai menggunakan kapak sehingga pecah.

“Semua pekerja yang ketakutan terus bersembunyi di bawah meja kedai tetapi seorang pekerja sempat menekan butang loceng penggera, namun suspek meneruskan tindakan memecahkan cermin kedai sehingga pecah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek turut memecahkan pintu masuk kedai dan bertindak memasuki kedai sebelum membuka laci menyimpan pelbagai mata wang asing serta tempatan lalu melarikan mata wang tempatan dianggarkan berjumlah RM50,000 manakala jumlah mata wang asing masih belum dapat dipastikan.

“Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga daripada suspek berkawal di bahagian luar kedai. Semua suspek kemudian melarikan diri menaiki Toyota Vios,” katanya.

Aidi Sham berkata, polis menjumpai kereta suspek ditinggalkan di parkir Flat Taman Orkid, Jalan Bypass, jam 5.30 petang dan siasatan dijalankan mendapati kenderaan itu turut bersabit kejadian samun di Tampoi, Johor.

“Semua suspek dipercayai sudah melarikan diri menggunakan kenderaan lain iaitu kereta Perodua Axia berwarna perak berdasarkan maklumat orang awam,” katanya.

Katanya, polis juga mengambil tindakan dengan melancarkan Ops Tutup bagi mengesan semua suspek.

“Jumlah kerugian keseluruhan masih belum dapat dipastikan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 017-422 0322 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 11:51 AM