LOKASI kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


TINDAKAN pantas bomba membantu menyelamatkan nyawa seorang wanita Indonesia yang cuba terjun dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Taman Permata Hulu Klang, dekat Ampang, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang Ariff Mohamed Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis berhubung kejadian itu, jam 10.46 malam.

“Seramai 10 anggota bomba dari BBP Ampang dan pasukan Turn Table Ladder dari BBP Jalan Hang Tuah bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi selain dibantu 15 anggota polis dalam operasi itu.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dapati seorang wanita warga Indonesia, duduk di tingkap sebuah rumah terletak di tingkat empat pangsapuri berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ariff berkata, anggota bertugas kemudian memujuk mangsa sambil memasang tangga untuk naik ke lokasi wanita berkenaan duduk.

“Anggota memujuk mangsa dengan bertanyakan masalah dialaminya dan mengajaknya berborak sehingga kami berjaya menariknya masuk ke dalam rumah berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memujuk mangsa sebelum dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dipercayai dalam keadaan pengaruh dadah ketika kejadian.

“Pemeriksaan juga mendapati tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 10:19 AM