NUR ATEKAH bersama anaknya, Nur Falisya Mardina. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


“LULUH hati saya apabila Icha mengadu ‘Buuu, akit.. (Ibu.. sakit), malah dia kerap merengek dan terjaga dari tidur kerana tidak selesa dengan lehernya yang besar,” kata Nur Atekah Mohd Yusof, 23.

Nur Atekah adalah ibu kepada Nur Falisya Mardina Fahme Ridzuan atau nama manjanya Icha berusia setahun sembilan bulan di Lumut, yang menghidap penyakit cystic hygroma iaitu gejala abnormal yang terjadi pada leher atau kepala bayi.

Menurut Nur Atekah, leher kiri anaknya itu membengkak dan mengandungi cecair atau air bisa dalam badan yang sepatutnya keluar melalui najis, namun sebaliknya terkumpul di leher.

“Saya perasan ada kelainan pada leher Icha selepas melahirkannya dan dia ditahan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Seri Manjung, selama tujuh hari.

“Icha kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan didapati cystic hygroma ketika berusia hampir tiga bulan sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Bumi Hijau, Batu 5 Segari di Lumut, hari ini.

Menurut Nur Atekah, benjolan di leher anaknya itu semakin serius dan pemeriksaan imbas CT, bulan lalu, menunjukkan saluran makanan dan pernafasan Icha semakin terhimpit berikutan keadaan lehernya yang semakin membesar.

“Kalau ikutkan pembedahan akan dijalankan pada usia dua tahun ke atas tetapi keadaan Icha semakin serius dan pembedahan akan dibuat untuk membuang cecair itu di HKL, 21 Oktober ini.

“Saya dimaklumkan pembedahan ini berisiko serta boleh beri kesan kepada suara dan saraf tetapi sebagai ibu saya tak sanggup lihat anak berada dalam keadaan begitu, malah lehernya akan semakin membesar nanti.

“Sebab itu saya dan suami (Fahme Ridzuan Zulqarnil, 28) mahu Icha menjalani pembedahan dan kami juga mula menyimpan wang sebagai persediaan termasuk kos ulang-alik ke sana nanti,” katanya yang memaklumkan suaminya hanya bekerja sebagai operator kilang di Segari.

Nur Atekah berkata, tidur malam anaknya kini kerap terganggu kerana tidak selesa dengan keadaan lehernya itu sehingga menangis dan kadang-kadang bernafas menggunakan mulut.

“Hampir setiap malam setiap 15 minit dia akan terjaga dan tidur semula selepas diberi susu dan berulang sehingga pagi. Dia nak telan makanan juga agak sukar,” katanya.

Menurutnya, biarpun begitu, Nur Falisya Mardina seorang yang aktif serta suka berkawan dan berharap pembedahan anaknya itu berjalan lancar.

“Saya mahu lihat dia membesar dengan sihat seperti kanak-kanak normal lain, saya sedih melihat dia dijauhi dan dipandang pelik segelintir kanak-kanak ketika bermain di taman kerana keadaannya itu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Agrobank bernombor 2005351000103289 atas nama Nur Atekah Mohd Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 10:12 AM