ANTARA kawasan terjejas, malam tadi. FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


HUJAN lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa sungai di Kubang Pasu dipenuhi air sekali gus melimpah menyebabkan banjir kilat, malam tadi.

Antara kampung dinaiki air termasuklah di Kampung Batas dan Kampung Tebing di Changlun yang membabitkan 36 mangsa dari enam keluarga.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, dalam kejadian 11 malam semalam, air naik mendadak di kawasan itu.

Beliau berkata, air sungai melimpah berikutan hujan lebat berlarutan bermula pada waktu pagi dan berhenti sekejap-sekejap.

“Pemantauan pada 9 malam tadi mendapati air naik antara 0.3 meter hingga 0.6 meter di beberapa kawasan meliputi Kampung Batas, Kampung Tebing, manakala di Kampung Kubang Betong air dalam keadaan berjaga-jaga.

“Bagaimanapun, tiada mangsa berpindah setakat ini dan pusat pemindahan sementara belum dibuka,” katanya dalam satu kenyataan

Kamalruzamal berkata, setakat ini, banjir di kawasan berkenaan sudah surut sepenuhnya, tetapi air dijangka naik sekiranya hujan berterusan.

Beliau berkata, APM Kubang Pasu masih meneruskan pemantauan dan akan melakukan tindakan selanjutnya mengikut keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 9:30 AM