PENDUDUK mengutip siput sedut yang ditemui membanjiri kawasan paya pakau berhampiran Benteng Tanjung Labuh.
Mary Victoria Dass
maryvictoriadass@gmail.com


Rezeki ‘durian runtuh’ apabila penduduk sekitar daerah ini berpusu-pusu membanjiri kawasan sekitar paya pakau berhampiran Benteng Tanjung Labuh susulan kehadiran siput sedut dalam jumlah luar biasa.

Fenomena luar biasa itu menyebabkan kawasan berkenaan bertukar menjadi tapak ‘pesta’ bagi penduduk setempat yang membawa guni dan timba untuk mengutip siput berkenaan.

Penduduk, Halim Ahmad, 32, berkata, fenomena luar biasa itu mengejutkan penduduk apabila mampu mendapatkan siput sedut dengan mudah dan dalam kuantiti hingga puluhan kilogram.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga terkejut dengan maklumat tersebar di media sosial yang dikongsi rakannya pagi semalam menyebabkan mereka tidak pergi ke lokasi berkenaan untuk melihat sendiri keanehan itu.

“Ini adalah kali pertama saya melihat siput sedut timbul di kawasan cetek di paya berkenaan hingga membuatkan saya teruja.

“Kehadiran siput sedut dengan jumlah yang banyak sekali gus memberi rezeki lumayan kepada penduduk berhampiran lokasi itu berikutan ia boleh dijual sehingga RM10 sekilogram di pasar raya besar.

“Saya difahamkan sehingga kini terdapat lebih 100 penduduk sekitar datang ke lokasi itu bagi mengutip siput sedut itu sejak awal pagi,” katanya.

Penduduk, Joyah Mat Som, 42, atau dikenali sebagai Kak Joi berkata, dia bersama rakannya pergi mengutip siput sedut itu dengan berbekalkan plastik dan besen dibawa.

Menurutnya, hidupan itu yang enak dimasak lemak cili api mudah dikutip di kawasan itu berikutan berkumpul di air cetek.

“Semua siput sedut itu kemudian dibawa pulang ke rumah untuk dibersihkan.

“Sejak dari dahulu lagi, siput sedut adalah makanan kegemaran kami sekeluarga. Ini menyebabkan kami tidak melepaskan peluang mengutipnya di kawasan paya biarpun ramai berpusu-pusu datang ke kawasan paya itu.

“Hari ini (semalam) kami berjaya mengutip hingga melebihi lima kilogram. Semua siput sedut ini adalah untuk hidangan kami sekeluarga dan bukan untuk dijual,” katanya.

Secara umumnya, panjang siput sedut ditemui di kawasan itu mencecah sehingga 12 sentimeter dan memiliki hujung cengkerang tajam di samping permukaan licin berwarna hitam pekat.

Siput sedut yang hidup di kawasan air payau, boleh ditemui di sungai, laut dan paya bakau.

Ia dijual dengan harga RM7 sekilogram dan biasanya dimasak lemak cili api, masak kicap dan kari dan sos tiram.


KEHADIRAN siput sedut dalam jumlah luar biasa di paya pakau berhampiran Benteng Tanjung Labuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:50 AM