Jari telunjuk Syahril Haziq yang membengkak selepas dipatuk ular tedung di Kampung Ibol, Terachi di Kuala Pilah kelmarin. Foto Ihsan APM
Amran Yahya
am@hmetro.com.my


ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Pilah cedera selepas dipatuk ular ketika operasi menangkap reptilia itu di Kampung Ibol, Terachi di Kuala Pilah kelmarin.

Dalam kejadian 3.34 petang itu, Syahril Haziq Cik Raman, 21, cedera di jari telunjuk tangan kirinya selepas dipatuk ular tedung yang secara tiba-tiba keluar dari karung dipegangnya.

Anggota berkenaan ketika ini dirawat di wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Pegawai APM Kuala Pilah Muhammad Aminudin Suhaimi berkata, pada mulanya Syahril bersama dua lagi anggota ke lokasi selepas menerima panggilan mengenai kehadiran ular di sebuah rumah.

“Dalam operasi itu, mereka berjaya menangkap dengan menjerut ular itu sebelum memasukkannya ke dalam karung.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba ular itu keluar dari karung dan mematuk tangan Syahril yang sedang memegangnya.

“Jarinya membengkak tetapi keadaan anggota terbabit stabil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Aminudin berkata, Syahril kemudiannya diberi rawatan awal oleh anggota lain sebelum dibawa ke HTAN.

Katanya, ketika kejadian anggota berkenaan memakai pakaian keselamatan lengkap dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:49 PM