BERNAMA

TANGGAPAN pekerja wanita akan menyalahgunakan cuti bersalin dengan menggunakannya untuk percutian hanyalah satu mitos, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, cuti bersalin yang diberikan adalah untuk mengeratkan ikatan antara ibu dan bayi serta memastikan bayi mendapat penyusuan ibu eksklusif.

“Cuti bersalin bukan untuk percutian atau keseronokan, ia benar-benar untuk penyusuan ibu eksklusif. Doktor sentiasa menggalakkan ibu-ibu mengamalkan penyusuan eksklusif selama enam bulan.

“Tanggapan sekiranya cuti bersalin diberikan, wanita akan menyalahgunakannya dan mereka akan berterusan melahirkan anak. Itu mitos,” katanya ditemui selepas Konvensyen Wanita dan Keluarga Kebangsaan 2019 di Putrajaya, hari ini.

Antara insentif yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2020 ialah kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 untuk meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa 2021.

Yeoh berkata, apabila mengambil wanita sebagai pekerja, majikan harus menyediakan infrastruktur sokongan termasuk pusat penjagaan kanak-kanak dan juga cuti bersalin.

“Apa yang disumbangkan wanita terhadap tenaga kerja serta kepada ekonomi negara, tidak boleh dinilai dengan hanya melihat aspek kerugian dalam beberapa bulan kerana wanita di rumah (kerana) cuti bersalin.

“Cuti 90 hari ini benar-benar keperluan asas yang diminta oleh golongan wanita dan apabila bayi berada bersama ibunya dalam tempoh tiga bulan pertama, ia dapat mengurangkan risiko tersedak susu,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata, kementeriannya bersetuju untuk melaksanakan mesyuarat jawatankuasa pembangunan wanita dan keluarga secara berkala di peringkat persekutuan, negeri dan daerah dalam usaha menangani isu penganiayaan dan penindasan wanita.

Katanya, jawatankuasa mesyuarat itu terdiri daripada polis, exco wanita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli parlimen kawasan berkenaan.

“Dalam mesyuarat itu nanti, ahli jawatankuasa berkenaan akan mendengar beberapa laporan polis yang telah dibuat dan adakah ia sama dengan realiti yang berlaku di sesuatu kawasan.

“Kerana kadang-kadang kita dengar banyak kes tetapi tidak ada laporan. Dengan adanya mesyuarat ini, kita akan kumpulkan data yang lebih sistematik dan yang lebih terperinci,” katanya.

Menurutnya, mesyuarat itu juga akan mengumpulkan data dan berbincang mengenai kes keganasan rumah tangga yang berlaku di setiap daerah serta membincangkan program kesedaran yang wajar diadakan di kawasan yang mempunyai kes keganasan rumah tangga.

“Dengan data ini, ADUN ataupun Ahli Parlimen boleh menganjurkan program-program berkaitan kepada kumpulan sasar di tempat masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:19 PM