MAZLAN menunjukkan beberapa wang palsu yang digunakan pasangan kekasih warga Afrika untuk menipu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


POLIS menahan pasangan kekasih warga Afrika yang cuba melakukan penipuan wang palsu atau ‘Black Money’ dalam serbuan di sebuah premis di Taman Gembira, Kuala Lumpur, 8 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil serbuan 6 petang itu, pihaknya menahan suspek masing-masing berusia 37 dan 36 tahun berkenaan.

“Pemeriksaan terhadap premis itu menemui satu baldi yang mengandungi peralatan digunakan untuk memperdaya mangsa seperti satu botol cecair kimia, satu bungkusan serbuk berwarna putih dan 123 wang mata wang asing palsu.

“Siasatan awal mendapati suspek itu tidak bekerja dan masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan berkata, mereka dipercayai baru saja mahu mula melakukan penipuan itu, namun serbuan ini berjaya mematahkan cubaan mereka.

“Hasil soal siasat mendapati mereka mahu menawarkan bayaran RM10,000 bagi 100 keping wang kertas AS$100 kepada mangsa.

“Difahamkan mereka menyasarkan orang ramai yang berada di kawasan tumpuan umum seperti tempat letak kenderaan, tepi jalan dan hotel,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman bermula 9 hingga 25 Oktober ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 489 Kanun Keseksaan kerana memiliki wang palsu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat urusan pertukaran mata wang asing di institusi kewangan atau pengurup wang berlesen bagi mengelak ditipu.

“Jangan mudah percaya dengan helah penjenayah yang mahu menawarkan keuntungan berlipat ganda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:02 PM