MOHAMAD (dua dari kiri) memotong pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran beliau selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan. FOTO BERNAMA.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


KERTAS putih Kementerian Pertahanan akan dibentangkan di Parlimen pada 2 Disember depan, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Menurutnya, ketika ini ia dalam perangkaan akhir dan dijangka menjadi panduan terhadap apa yang perlu dilakukan kementerian dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Banyak negara sudah membentangkan kertas putih termasuk Australia, New Zealand dan China,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kertas putih itu akan mengandungi rangka kerja yang dirancang Kementerian Pertahanan khususnya membabitkan aset, pertahanan dan keselamatan negara.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam-LTTE, Mohamad berkata, yakin pihak polis bertindak perundangan sedia ada.

Bagaimanapun, beliau berharap isu berkenaan dikendalikan dengan hati-hati mengambil kira Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

“Jadi, sebarang tindakan tidaklah sehingga membabitkan unsur perkauman,” katanya yang memaklumkan setiap negara mempunyai takrifan sendiri mengenai kumpulan pengganas.

Sebagai contoh katanya, kumpulan pejuang Hamas dan Hezbollah dikategorikan kumpulan pengganas oleh negara tertentu namun, bagi Malaysia, mereka berjuang untuk mengembalikan hak rakyat Palestin.

“Begitu juga kumpulan pengganas yang diisytiharkan di satu negara, kadangkala ia tidak dianggap pengganas kepada negara lain seperti Malaysia,” katanya yang yakin kerajaan mampu menentukan mana-mana kumpulan yang dianggap sebagai pengganas.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalannya Liew Chin Tong dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 5:46 PM