KELUARGA mangsa pembunuhan kejam di Kampung Ladang, Krubong. FOTO Rasul Azli Samad
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@hmetro.com.my


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka bersedia memberikan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa pembunuhan kejam yang mayatnya ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong, Melaka.

Pengarahnya Burhanuddin Bachik berkata, pegawai kaunseling akan dihantar ke rumah keluarga mangsa bagi memberi sokongan dan keperluan mereka yang kini berdepan dengan situasi sukar.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan kajian dan siasatan terlebih dahulu sebelum berkunjung bagi melihat aspek keperluan yang diperlukan oleh keluarga berkenaan.

“Setakat ini belum ada lagi tetapi (dalam masa terdekat) kita akan bantu kalau ada keperluan dan ia membabitkan keluarga terdekat seperti emak, anak serta adik beradik.

“Kebiasaannya JKM memang akan turun dan bantu serta menyediakan khidmat kaunseling bagi memberikan mereka semangat serta sokongan untuk menempuh kehidupan harian seperti biasa selepas melalui detik sukar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai keadaan anak bongsu kepada wanita berkenaan, Burhanuddin berkata, kebiasaannya anak kecil berusia tiga tahun tidak mengerti apa yang berlaku di sekeliling, namun perhatian dan sokongan keluarga terdekat amat diperlukannya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan lapan bahagian tubuh mayat manusia dijumpai di dalam semak di Kampung Ladang, Krubong, pada Khamis lalu milik dua beranak yang tular di media sosial.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, bagaimanapun, pengesahan akan ditentukan selepas menerima laporan bedah siasat kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan.

“Kemungkinan berkenaan (milik dua beranak) ada, tetapi biarlah keputusan itu disahkan secara profesional kerana ada maklumat tidak sah dan itu akan mengganggu siasatan kita selanjutnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Mayat Dikerat Lapan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 4:35 PM