LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PAS dan UMNO Negeri Sembilan mendesak Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertindak tegas terhadap isu keselamatan di negeri ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Badzli Bakar berkata, beliau dan Ketua Penerangan UMNO negeri, Mustapha Nagoor berpendapat keselamatan serta keamanan Negeri Sembilan tergugat berikutan ada pemimpin DAP yang ditahan kerana disyaki terbabit kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Menteri Besar harus mengambil pendekatan proaktif untuk memulihkan keadaan ini seperti merehatkan individu yang disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan, Langkah-Langkah Khas 2012 (SOSMA).

“Amat membimbangkan jika lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini terbabit. Kami yakin rakyat juga bimbang dan berasa tergugat dengan situasi ini,” katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

Badzli berkata, pihaknya yakin dengan kebijaksanaan polis dalam mengatasi isu keselamatan negara.

“Beberapa pemimpin DAP seperti Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy yang secara terang-terangan menyokong LTTE harus disiasat dan ditahan,” katanya.

Pada 10 Oktober lalu, tujuh individu termasuk ADUN Seremban Jaya dan Melaka ditahan kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas LTTE.

Susulan itu, lima lagi individu termasuk guru, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri dan ketua pegawai eksekutif (CEO) perbadanan anak syarikat kerajaan Melaka ditahan dalam operasi susulan, kelmarin.

Berita berkaitan

LTTE: Ada bukti, polis tahan [METROTV]

LTTE: Seorang guru ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 11:02 AM