FOTO Hiasan
Md Fuzi Abd Lateh
am@hmetro.com.my


PENGEMIS warga asing di Pasar Malam Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, dipercayai mampu meraih pendapatan lumayan setiap malam hasil belas ihsan penduduk setempat.

Selain membawa kanak-kanak untuk meraih simpati, difahamkan, golongan itu juga menggunakan alasan masalah kesihatan untuk mendapatkan wang.

Bagaimanapun, kehadiran mereka yang semakin ramai menimbulkan rasa tidak selesa penduduk.

Tinjauan Harian Metro pada malam Rabu dan Sabtu minggu lalu mendapati, tiga keluarga dipercayai warga asing dari Kemboja dan Syria mengemis di pasar malam itu.

Selain itu, terdapat seorang lelaki warga negara asing menggunakan topi mengutip sedekah sambil meniarap atas tapak pasar malam itu.

Penduduk, Salleh Mohd Idris, 45, berkata, kedatangan pengemis mengutip sedekah daripada orang ramai perlu ditangani segera.

Katanya, mereka berjaya mengumpul banyak wang dengan cara yang mudah di situ.

“Saya nampak ramai pengunjung pasar malam yang sudi menghulurkan sedekah kepada pengemis warga asing yang semakin ketara meneruskan aktiviti mereka di sini setiap minggu.

“Mereka sanggup memperalatkan anak kecil bagi mengumpan penderma. Di tangan mereka ada bekas menyimpan makanan yang digunakan sebagai tabung derma,” katanya ketika ditemui, di sini.

Salleh berkata, pemantauan dan penguatkuasaan daripada pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar bagi membanteras masalah ini.

Peniaga, Mastura Mazlan, 34, berkata, warga asing yang mengemis memilih pasar malam berikutan lokasi berkenaan strategik untuk mengaut keuntungan mudah.

“Kebanyakan pengemis warga asing berada di pasar malam kerana kawasan lapang dan mudah untuk duduk bersama anak kecil,” katanya.

Katanya, penduduk berharap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerap turun padang ke Bukit Sentosa untuk menyelesaikan masalah kehadiran warga asing yang meminta sedekah di sini.

“Mereka kaut keuntungan mudah hasil mengutip sedekah daripada orang ramai di pasar malam setiap minggu.

“Sikap orang yang mudah bersimpati dengan memberikan wang kepada mereka menyumbang kepada pertambahan golongan itu mengemis di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 10:49 AM