NORAZMAH (kiri) membantu pelanggannya memilih ulam yang dijual.
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Seawal jam 6 pagi, sebahagian usahawan di Pasar Tani Mega Stadium Shah Alam di sini, bersedia menerima pelanggan sama ada individu atau peniaga yang membeli produk mereka.

Difahamkan, ada usahawan tani ini datang seawal jam 12 tengah malam, ada juga yang datang jam 4 pagi untuk membuat persediaan memasang khemah, menyusun barang jualan kerana peniaga bukan hanya dari Lembah Klang sebaliknya dari negeri lain termasuk Kedah.

Usahawan tani, Norazmah Husin, 48, dari Tanjong Karang berkata, dia berniaga sayur serta ulam kampung sejak pasar tani itu diwujudkan.

Katanya, produk diniagakan hasil titik peluhnya dengan menanam di kebun berhampiran rumah.

“Sebahagian besar barang jualan saya tanam sendiri. Saya gembira sebab dapat terus jual kepada pelanggan tanpa orang tengah.

“Ramai pembeli suka sayur dan ulam saya jual. Alhamdulillah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bantu dari segi pemasaran dan tapak ini sejak mula berniaga,” katanya.

Sementara itu, sempena promosi wajah baharu Harian Metro dan Metro Ahad di tapak pasar berkenaan hari ini, dua artis popular Izzue Islam dan Aiman Tino turut diundang bagi memeriahkan program.


JUALAN daging tempatan segar antara yang menarik minat pengunjung.

Program bermula jam 8 pagi itu turut memberi peluang kepada orang ramai beramah mesra dan mengambil gambar bersama penyanyi dan pelakon popular itu.

Dalam pada itu, peniaga, Muhd Yusuf Abdul Wahid, 27, yang menjual ikan segar selalu berkunjung ke sini kerana menemani bapanya berniaga.

Katanya, pengalaman lebih 10 tahun membolehkan dia mengendalikan perniagaan itu dengan lebih baik.

“Saya ambil alih perniagaan sejak ayah meninggal dunia lima tahun lalu.

“Setiap minggu, saya berniaga enam kali iaitu lima di bawah Fama dan satu di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saya peroleh bekalan dari Sekinchan dan Sungai Besar,” katanya.

Sementara itu, pengunjung pasar berkenaan, Raja Roziana Raja Bidin berkata, sebab utama pasar tani itu menjadi pilihan kerana menjual pelbagai barangan di dalam satu tempat.

“Seronok berbelanja di sini, semua hasil yang dibawa segar dari ladang termasuk sayur dan lauk pauk.

“Begitu juga makanan yang boleh dinikmati selepas siap dimasak di gerai,” katanya.

Difahamkan, 187 usahawan Pasar Tani Mega Stadium Shah Alam membabitkan komoditi utama iaitu sayur, ikan, ayam, ikan air tawar, daging, buah serta pelbagai produk Industri Kecil Sederhana (IKS).


MUHD Yusuf menjual ikan yang dibawa dari Sekinchan dan Sungai Besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 6:01 AM