GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan dakwaan kononnya pegawai jabatan itu meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di ibu negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata JAKIM mempunyai mekanisma kawalan serta mengamalkan sistem integriti yang tinggi dan telus bagi mengelakkan berlaku amalan rasuah dalam kalangan kakitangannya.

“Mekanisma ini termasuklah kerjasama yang rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping penempatan pegawai SPRM secara sepenuh masa di bahagian yang berisiko tinggi berlakunya rasuah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Nordin mengulas berhubung artikel bertajuk ‘Malaysia Halal Crisis’ oleh Murray Hunter di laman web Asia Sentinel bertarikh 10 Oktober lalu yang mendakwa berlakunya isu integriti dan kompetensi kakitangan JAKIM dalam proses pensijilan halal Malaysia.

JAKIM turut menggesa penulis artikel itu serta semua pihak untuk tampil mengemukakan bukti bagi diteliti serta diambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

“Isu ini amat serius kerana ia boleh menyebabkan reputasi halal Malaysia tercemar dengan fitnah dan tuduhan tidak berasas,” katanya menambah JAKIM sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan integriti.

Mohamad Nordin turut menolak dakwaan di dalam artikel itu mengatakan kakitangan JAKIM angkuh dan tidak membantu dalam proses pendaftaran, sebaliknya mereka bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan melibatkan kakitangan JAKIM atau masalah berkaitan permohonan sijil halal secara dalam talian. Kami sentiasa membantu semua pihak dan syarikat untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.

Tambahnya, JAKIM komited mengekalkan reputasi pensijilan halal yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memantapkan kualiti sijil halal JAKIM.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 4:11 PM