Jabatan Imigresen menerima 11,000 unit CCTV manakala JKDM menerima 20 mesin pengimbas kargo. FOTO Hafizudin Mohd Safar
BERNAMA

KAWALAN keselamatan di pintu masuk negara mendapat perhatian kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2020 bagi memastikan kawasan strategik utama negara itu tidak bolos dengan aktiviti penyeludupan di samping meningkatkan integriti anggota keselamatan bertugas.

Agensi terbabit dalam kawalan di pintu masuk sempadan masing-masing mendapat agihan peruntukan antaranya 11,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) untuk Jabatan Imigresen dan 20 mesin pengimbas kargo untuk meningkatkan tahap kecekapan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pemasangan lebih 11,000 CCTV di setiap pintu masuk negara adalah inisiatif meningkatkan integriti pegawai jabatan itu yang bertugas di pintu masuk negara.

“Jabatan Imigresen merakamkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Kementerian Kewangan di atas peruntukan yang diluluskan.

“Keputusan ini tentunya akan membantu usaha meningkatkan tahap integriti pegawai Jabatan (Imigresen Malaysia),” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bagi menambah baik prosedur dan kemudahan tahanan, khususnya pemasangan 11,500 CCTV di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.

Sementara itu Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Paddy Abd Halim menyifatkan peruntukan bagi menambah 20 unit mesin pengimbas kargo bakal meningkatkan kecekapan jabatan itu terutamanya dalam penugasan operasi dalam menangani isu penyeludupan khususnya di pintu pelabuhan masuk ke negara.

“JKDM ada 25 unit mesin pengimbas sehingga kini dan perkara ini sememangnya satu keperluan untuk ditambah.

“Jumlah dagangan yang masuk semakin meningkat dan dengan perolehan mesin pengimbas yang canggih serta berteknologi tinggi akan memantapkan lagi kawalan di pintu masuk pelabuhan negara,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM235 juta untuk menambah 20 mesin pengimbas kargo bagi ditempatkan di semua pintu pelabuhan yang strategik dalam negara.

Sementara itu syarikat Japan Tobocco International (JTI Malaysia) dalam satu kenyataan hari ini memperakui faham dan menyambut baik langkah kerajaan menambah mesin pengimbas itu dalam menyokong usaha membanteras penyeludupan.

“Penjualan rokok di Malaysia melangkaui tahap krisis dan ia boleh ditangani dengan penguatkuasaan menyeluruh dan tegas.

“Ketika kami menyambut baik peruntukan kerajaan RM235 juta untuk membeli tambahan 20 lagi pengimbas kargo yang akan ditempatkan di pintu masuk negara, apa yang perlu difahamkan adalah pembanterasan penyeludupan sepenuhnya tidak akan dicapai selagi ada unsur campur tangan manusia dalam penguatkuasaan undang-undang,” kata Pengarah Urusan JTI Malaysia, Cormac O’Rourke.

Katanya beberapa langkah penting termasuk pengenalan sebuah badan bebas bagi menerajui pasukan petugas khas bagi menangani penjualan rokok seludup dan langkah meningkatkan moratorium tembakau, amat diperlukan selaras dengan peningkatan penguatkuasaan.

“Kami harap kerajaan akan meningkatkan usaha membanteras gejala penyeludupan dan mengembalikan kehilangan hasil RM6 bilion kepada pembayar cukai di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 10:02 PM