GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


MEWUJUDKAN sistem liga bagi sukan elektronik mampu melahirkan atlet yang berdaya saing di peringkat antarabangsa selain memberi ruang kepada pasukan baharu untuk bertanding secara lebih profesional.

Pengurus Pasukan E-Sukan Malaysia ke Sukan SEA 2019 Firdaus Hashim berkata, peruntukan khas yang diumumkan pada Belanjawan 2020 secara tidak langsung mengiktiraf sukan elektronik sebagai cabang baru dan ia adalah bidang digital yang luas.

“Saya menyambut baik dana kerajaan berjumlah RM20 juta dan ini menunjukkan kerajaan memandang serius berhubung perkembangan sukan elektronik dalam kalangan golongan muda di negara ini.

“Bagaimanapun, saya berharap supaya dana ini dapat difokuskan untuk mewujudkan liga sukan elektronik di negara ini sekali gus memberi peluang kepada atlet atau menjadi platform untuk mencungkil bakat baru dalam segmen berkenaan.

“Atlet kita memerlukan liga yang stabil kerana ia bukan saja memberi pendedahan kepada mereka untuk bersaing secara lebih kompetitif sebaliknya dapat membantu ekonomi pasukan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkaitan perlu segera memberi fokus kepada pembangunan atlet dalam negara supaya tidak ketandusan bakat baru bagi persediaan bukan saja menghadapi Sukan SEA sebaliknya arena sukan yang lain.

Katanya, sukan ini berkembang dengan begitu pantas dan negara perlu bersiap sedia dengan platform yang terbaik untuk melahirkan bakat baru serta melatih atlet sedia ada.

“Sukan ini masih baharu di peringkat antarabangsa namun ia mempunyai potensi yang sangat besar di masa depan dan ia juga menjadi minat utama golongan belia masa kini,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan mengiktiraf potensi tinggi e-Sukan dan akan meningkatkan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun 2020.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 8:24 PM