SPRM menerima tambahan 100 kakitangan lagi dalam Belanjawan 2020. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN akan menambah 100 kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun hadapan bagi meningkatkan tahap tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan juga akan mengukuhkan Unit Integriti di semua kementerian dan agensi dengan memperuntukkan RM10 juta bagi menjalankan Ujian Penilaian Risiko di semua kementerian, jabatan dan agensi.

Katanya, kerajaan akan melaksanakan pembaharuan melalui penggubalan undang-undang dan penubuhan institusi seperti Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), bagi meningkatkan keyakinan orang awam terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ombudsman Malaysia pula bagi menggantikan Biro Pengaduan Awam, bertujuan meningkatkan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Bagi menangani isu kematian dan penganiayaan tahanan lokap, Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) diperuntukkan RM50 juta bagi penambahbaikan prosedur dan kemudahan tahanan, khususnya pemasangan 11,500 kamera litar tertutup (CCTV) di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.

Lim dalam pada itu berkata, sejak pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada 29 Januari lalu, 115 inisiatif sudah diperkenalkan.

“Daripada jumlah itu, 15 peratus berjaya dilaksanakan manakala 78 peratus dalam pelaksanaan.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pengisytiharan harta oleh menteri, timbalan menteri dan ahli Parlimen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 8:20 PM