KEADAAN tanah runtuh di Pangsapuri Azalea, Kampung Sri Penchala. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
BERNAMA

TEMPOH masa sekurang-kurangnya seminggu diperlukan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) bagi membuat penilaian keadaan serta pergerakan tanah di bawah Azalea Apartments di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, Kuala Lumpur yang berlaku tanah runtuh, malam tadi.

Jurutera Ikram, Nor Aishah Md Ali berkata, tindakan susulan membaiki dan menaik taraf sistem pembetungan air yang pecah akan dilaksana segera dalam memastikan kejadian seumpamanya dapat dibendung pada masa hadapan.

“Laporan awal insiden boleh dikeluarkan seawal dua atau tiga hari, namun pemantauan masih perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu.

“Hasil pemerhatian, terdapat saluran pembetungan yang pecah di bawah struktur apartmen ini. Kejadian itu menyebabkan tekanan air telah merempuh struktur dinding bawah kediaman ini yang diperbuat daripada batu-bata,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, pemilik tanah tempat apartmen itu didirikan, Azhari Arshad berkata, ini adalah kejadian tanah runtuh pertama berlaku sejak pangsapuri itu dibina 20 tahun lalu.

“Atas nasihat pihak berkuasa, semua penduduk diarah mengosongkan apartmen itu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Mereka akan ditempatkan di dewan berdekatan sebelum menerima sebarang maklumat balas positif mengatakan apartmen itu selamat diduduki kembali,” katanya.

Seorang penduduk, Han Zainal, 56, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu menerusi anaknya.

“Anak saya terdengar bunyi dentuman kuat di belakang unit apartmen kami pada malam tadi. Sewaktu itu saya berada di luar.

“Anak saya memaklumkan terdengar bunyi kuat dan kelihatan pokok tumbang,” katanya.

Seramai 65 penduduk apartmen itu dilaporkan terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka terjejas akibat tanah runtuh malam tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dipetik sebagai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tanah runtuh berhampiran pangsapuri itu pada 9.08 malam tadi.

– BERNAMA

Berita berkaitan

65 penduduk dipindahkan, pangsapuri tidak selamat

'Mana kami nak duduk?'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 4:02 PM