Tujuh individu termasuk dua ADUN ditahan selepas polis ada bukti kukuh berhubung pembabitan mereka dengan kumpulan LTTE. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


POLIS ada bukti kukuh untuk menahan tujuh individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka berhubung pembabitan mereka dalam menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Malah tangkapan dibuat terhadap mereka susulan siasatan dijalankan polis sejak November lalu dan berharap orang ramai termasuk ahli politik tidak membuat spekulasi mengenainya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, LTTE disenaraikan sebagai kumpulan sejak 2014 sebagaimana dilakukan beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka.

Katanya, polis akan menahan mana-mana individu termasuk ahli politik jika mempunyai bukti pembabitan mereka menyokong, mempromosi dan mengumpul dana untuk kumpulan berkenaan.

“Kumpulan LTTE diwartakan haram di negara ini dan polis tidak nampak keperluan untuk mengaktifkan semula pergerakannya.

“Malah berdasarkan bukti, polis mendapati gerakan yang dilakukan di negara ini bukan isu perjuangan hak kaum sebaliknya adalah perjuangan bagi mempromosi kumpulan itu.

“Jadi semua pihak harus berhenti membuat sebarang kenyataan dan biar polis terus dengan siasatan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyempurnakan majlis.

Ayob Khan berkata, polis mempunyai 28 hari untuk menjalankan siasatan terhadap dua ADUN serta lima individu yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ditanya sama ada polis akan memanggil atau menyiasat Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy serta beberapa individu lain berhubung bukti di media sosial mengaitkannya dengan LTTE, beliau berkata, ia bergantung hasil siasatan.

“Tunggu dan lihat. Jika ada cukup bukti, polis akan mengambil tindakan,” katanya.

Semalam, dua ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Mereka ditahan dalam operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak bermula 9 pagi hingga 2 petang semalam.

Kedua-dua ADUN itu dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu.

Berita berkaitan

Tujuh termasuk dua ADUN ditahan [METROTV]

Tahan pengganas, bukan kerana kaum - Polis

Dua ADUN ditahan polis [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 11:18 AM