TANAH digunakan dicemari sampah, hitam dan berbau busuk.
Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Tanah hitam, busuk dan dipenuhi sampah. Itu keadaan tanah yang ditambak atas Perkuburan Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar.

Rata-rata penduduk kesal dengan pemaju dan pihak jawatankuasa masjid yang memindahkan batu nisan milik keluarga mereka tanpa persetujuan bagi projek baik pulih tapak perkuburan itu serta tidak dilakukan dengan sempurna.

Malah, waris mendakwa tanah digunakan bagi lapisan kedua tapak perkuburan berkenaan tidak berkualiti, berbau busuk dan dicemari sampah-sarap.

Wakil waris yang mahu dikenali sebagai Ali, 60-an berkata, projek berkenaan berjalan sejak beberapa minggu lalu dan sebelum itu, pihak jawatankuasa masjid bertanya kepada waris mengenai persetujuan mereka.

Namun katanya, hanya waris yang hadir di masjid pada waktu berkenaan mengesahkan persetujuan mengalihkan batu nisan, tetapi tidak bagi waris yang tinggal di luar kawasan itu.

“Ada antara mereka tidak tahu mengenai projek berkenaan dan ia berlaku terlalu cepat kerana sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh sewajarnya bagi membolehkan waris yang jauh mendapat maklumat lengkap.

“Waris difahamkan, batu nisan dialihkan itu diletakkan semula namun dipercayai hanya membabitkan pusara pada lapisan atas selepas kerja baik pulih siap,” katanya, semalam.


TANAH Perkuburan Islam Masjid Maqbul, Jalan Kampung Masjid, Teluk Kumbar.

Mengulas lanjut, Ali mendakwa, jawatankuasa masjid juga berjanji lapisan kedua tanah perkuburan itu berkualiti baik namun sebaliknya apabila tanah terbabit dicemari sampah-sarap, berbau dan kehitaman.

Selain papan tanda projek yang tidak memaparkan maklumat tepat mengenai projek itu, waris turut bimbang jika batu nisan pusara pada lapisan pertama tidak diletakkan semula.

“Boleh dilihat keadaan tanah itu banyak sampah serta berbau. Bayangkan keadaan tanah itu jika hari hujan.

“Kami menyokong usaha ini namun ia perlu dilakukan dengan betul dan memandangkan projek sudah berjalan, buatlah yang terbaik,” katanya.

Sehubungan itu, 41 waris membuat laporan di Balai Polis Teluk Kumbar pada 8 Oktober lalu bagi memohon tindakan dan siasatan polis serta Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

Tinjauan Harian Metro mendapati kerja baik pulih dijalankan dan tiada papan tanda jelas mengenai projek terbabit.

Sementara itu, jurucakap jawatankuasa masjid terbabit berkata, projek itu diteruskan berdasarkan majoriti suara waris yang memberi kebenaran.

Katanya, projek itu juga dilakukan menerusi permohonan yang dilakukan kepada MAINPP selain perhatian Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

“Isu ini selesai, tidak perlu dipanjangkan kerana ia untuk kebaikan bersama dan sekiranya masih ada waris tidak berpuas hati, diminta tampil berjumpa jawatankuasa masjid,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:20 AM