Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


TUJUH individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Negeri Sembilan dan Melaka ditahan hari ini kerana disyaki terbabit dengan perjuangan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penahanan mereka di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah dalam operasi khas bermula 9 pagi hingga 2 petang.

Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan ADUN dari Negeri Sembilan kerana menghadiri Program Hari Perwira LTTE pada 28 November tahun lalu di Melaka dan menyampaikan ucapan berunsur sokongan dan mengedar risalah serta item berkaitan kumpulan itu.

“Tangkapan kedua membabitkan ADUN di Melaka apabila pembabitannya hampir sama dengan ADUN Negeri Sembilan yang turut menghadiri program terbabit.

“Dua lelaki iaitu peniaga barang lusuh berusia 28 tahun dan pemandu teksi berusia 37 tahun masing-masing ditahan di Rawang, Selangor dan Sungai Siput, Perak pula pernah menerima hukuman denda RM10,000 atas kesalahan menyerang Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada September 2016, ” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Ayob Khan berkata, peniaga terbabit adalah penganjur Majlis Hari Perwira LTTE di Kuala Lumpur manakala pemandu teksi pernah menyertai pertemuan sulit di Sungai Siput bagi merekrut dan menyebarkan propaganda kumpulan itu di negara ini selain menyimpan item LTTE.

“Polis turut menahan lelaki berusia 38 tahun bekerja sebagai ejen insurans kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur selain memiliki dan menyimpan item berkaitan kumpulan itu.

“Dua lagi lelaki berusia 27 dan 57 tahun bekerja sebagai juruteknik dan peniaga kedai makan masing-masing ditahan di Kulim, Kedah dan Sungai Buloh, Selangor kerana menyokong, memiliki dan mempromosi LTTE,” katanya.

Beliau berkata, siasatan ke atas suspek bukan baru, malah sudah bermula sejak November tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya turut memiliki maklumat baru ada cubaan untuk aktifkan semula LTTE, malah dua hari lalu ada tangkapan di negara Eropah membabitkan empat suspek disyaki LTTE.

“Malah jika ada cukup bukti, kami akan mengambil tindakan terhadap pelakon dari India yang sebelum ini datang ke negara ini dan menghadiri program kumpulan itu.

“Semua mereka ditahan 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:37 PM
TUJUH individu termasuk dua ADUN ditahan selepas dipercayai terbabit dengan pengganas LTTE. FOTO ihsan polis.