Anggota polis trafik yang cedera dihantar ke HPM untuk rawatan lanjut. FOTO Ihsan Pembaca
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


POLIS trafik cedera pergelangan kaki kanan, luka mulut dan patah gigi selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan treler hari ini.

Kejadian berlaku 11 pagi tadi di selekoh Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, Pasir Mas.

Lans Koperal dari Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli berusia 36 tahun itu dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner, Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal Honda CBX750P dalam perjalanan dari Rantau Panjang ke Jeli.

Katanya, mangsa dalam perjalanan pulang selepas menjalani kursus Motoked di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikalnya terbabas dan melanggar treler dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, anggota polis terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke HPM untuk rawatan lanjut.

“Pemandu treler berusia 38 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 8:12 PM