Dr Wan Azizah memeriksa mata Ketua Perkhidmatan Oftalmologi Kementerian Kesihatan merangkap Pengerusi sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2019 Dr Nor Fariza Ngah (duduk kanan) hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

PESAKIT yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dikecualikan membuat pembayaran untuk pembedahan katarak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pula, lensa untuk pembedahan katarak adalah percuma manakala kos pembedahan sangat minimum iaitu RM103.

Ketika melancarkan sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Putrajaya hari ini, Dr Wan Azizah yang juga pakar oftalmologi berkata, kesedaran di kalangan orang ramai untuk mendapatkan rawatan bersesuaian jika ada masalah penglihatan perlu ditanamkan.

“Stigma negatif mengenai pembedahan mata harus diatasi supaya pesakit mendapat rawatan sepatutnya secepat mungkin untuk mengelakkan mata menjadi semakin teruk disebabkan takut untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Menurutnya, penyebab utama kebutaan di kalangan rakyat Malaysia adalah katarak 58 peratus, retinopati diabetik 10 peratus dan glaukoma tujuh peratus.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata, program ‘Cataract Finder’ yang dijalankan di Rumah Seri Kenangan pada 16 Julai lalu merujuk 21 penghuni institusi warga emas itu untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut di hospital.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 18 orang didapati menghadapi masalah katarak dan akan menjalani pembedahan dalam waktu terdekat.

‘Cataract Finder’ adalah program membabitkan petugas kesihatan melatih orang awam yang terdiri daripada pengamal optometri swasta, pakar optik, ahli farmasi komuniti serta petugas institusi mengenai teknik asas mengesan masalah penglihatan.

Ketika menggesa program Cataract Finder itu diperluaskan ke lebih banyak institusi dan pusat jagaan warga emas, Dr Wan Azizah turut mencadangkan supaya program kesedaran mengenai kesihatan mata dilaksanakan di institusi dan pusat jagaan kanak-kanak bagi menerapkan kesedaran penjagaan mata sejak kecil.

Pada sidang medianya, Dr Wan Azizah berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Kementerian Kesihatan akan menjalankan kajian mengenai kesan aktiviti bermain gajet dan bersukan ke atas peningkatan kes myopia (rabun jauh) di kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun pada tahun depan.

“Kajian itu bertujuan untuk melihat ada atau tidak perbezaan ‘refrective error’ atau masalah rabun penglihatan dalam kalangan kanak-kanak dari aktiviti dalam dan luar rumah,” katanya yang menjelaskan aktiviti dalam rumah merujuk kepada bermain gajet manakala aktiviti luar rumah ialah bersukan.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya menghadkan masa penggunaan gajet anak-anak kepada kurang dua jam sehari.

“Bahaya kalau banyak sangat (tengok) skrin untuk kanak-kanak. Retina paling sensitif, kalau retina rosak, tiadalah penglihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 2:49 PM