NOBLE Dinstinction (M) Sdn Bhd yang diwakili Eksekutif Pentadbiran dan Pemegang Saham, Cheong Kar Lai, 33, didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga mengakibatkan kematian pekerja. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


DUA syarikat masing-masing didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga mengakibatkan kematian pekerja.

Syarikat Telaga Setia Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusannya, Chia Weng Chuen, 50, manakala Noble Dinstinction (M) Sdn Bhd diwakili Eksekutif Pentadbiran dan Pemegang Saham, Cheong Kar Lai, 33, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, Telaga Setia Sdn Bhd didakwa sebagai majikan gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerja termasuk warga Bangladesh, Rabin Khadaker, 28.

Syarikat itu gagal mengadakan sistem kerja selamat bagi kerja-kerja pemasangan sistem solar PV di bumbung Kilang Choo Bee Metal Industries Sdn Bhd, Kawasan Perusahaan Pengkalan 1, Lahat, hingga mengakibatkan kemalangan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan syarikat beralamat di Jalan Pinggiran Putra, Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan, Selangor, pada 12 Julai lalu, 8.50 pagi.

SYARIKAT Telaga Setia Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Chia Weng Chuen,50, didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas mengaku bersalah atas pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga mengakibatkan kematian pekerja. FOTO Abdullah Yusof

Noble Dinstinction (M) Sdn Bhd pula didakwa gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja terutama Loi Thiam Fatt, 56, dengan gagal mengadakan prosedur kerja selamat untuk kerja-kerja membersih, memecah dan memuat batu kuari hingga mengakibatkan kemalangan maut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan 7.20 pagi, 1 Julai lalu, di PT21297, PT19541 dan PT19542, Mukim Sungai Raya, Kampung Kepayang, Ipoh.

Kedua-dua syarikat didakwa mengikut 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Farah Azita Abdul Rashid manakala kedua-dua syarikat tidak diwakili peguam.

Norashima kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM40,000 masing-masing bagi kedua-dua syarikat dan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 2:15 PM