Demonstrasi menyelamatkan tebusan oleh Unit Ungerin PPM pada Hari Peringatan Polis Marin ke-72 hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) akan terus berfungsi menjaga kedaulatan perairan negara seperti sebelum ini dan tidak akan dibubarkan berdasarkan apa yang tersebar di media sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perkara itu sudah dipersetujui di peringkat kabinet selepas beberapa perbincangan dilakukan dengan pihak berkenaan.

Beliau berkata, persetujuan itu diperolehi tahun lalu selain disusuli penambahan aset PPM bagi tujuan pembanterasan jenayah marin di negara ini.

“Hasil mesyuarat peringkat tertinggi, Menteri Dalam Negeri memutuskan status PPM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kekal dalam status sedia ada.

“Malah PPM akan mendapatkan semula beberapa aset daripada APMM termasuk dua kapal kelas PZ bagi tujuan operasi di kawasan berisiko,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Hari Peringatan Polis Marin ke-72 di Batu Uban, Georgetown hari ini.

Abdul Hamid berkata, kedua-dua kapal itu akan digunakan bagi tujuan mengawal keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang sering menjadi lokasi rompakan dan penculikan.

Menurutnya, PPM mempunyai kepakaran membaiki dan membaik pulih kelengkapan mereka dan dengan penambahan aset baru itu, pihaknya dapat mengurangkan perbelanjaan negara kerana aset itu dibaik pulih dalam negara.

Menurutnya, sehingga kini PPM sudah memperoleh enam bot baru kelas ‘Amphibian Humdinga’ bernilai RM29.5 juta dan dua bot ronda kelas PC (RM23.3juta) pada Mei 2019.

Selain itu katanya, PPM juga akan menerima dua lagi kapal ronda bernilai RM200 juta melalui Rancangan Malaysia Ke-11 dijangka tahun depan.

Menurutnya, selain perolehan aset baru serta persenjataan lain, kebajikan anggota PPM juga akan diperkemaskan termasuk membuat kertas cadangan bayaran insentif elaun marin RM500 sebulan kepada 2,270 anggota dan pegawai membabitkan kos RM13,620,000 setahun.

“Ia berdasarkan risiko kerja, kesusahan dan tanggungjawab tambahan kepada anggota PPM selain mengelak berlakunya rasuah.

“PPM juga satu-satunya unit di dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak diberi sebarang elaun insentif,” katanya.

Beliau berkata, banyak jasa dan sumbangan PPM dalam membanteras jenayah di perairan negara termasuk beberapa siri pembanterasan aktiviti seludup, jenayah dan pencerobohan warga asing di perairan negara.

“Sehingga kini mereka (PPM) sudah merampas RM160 juta barang kontraband dan yakin mampu mencapai sasaran rampasan RM200 juta menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 2:14 PM