ANGGOTA Jabatan Perkhidmatan Awam menjalankan operasi mencari mangsa, Mohd Danish Supry Antony, 9 yang dikhuatiri lemas akibat terjatuh longkang di sekitar Pos Kawalan Bomba, Taman Bukit Teratai, Ampang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@nstp.com.my


OPERASI pencarian kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas, Mohd Danish Supry Anthony diteruskan hari ini melalui pencarian udara menggunakan dron dari Smart Selangor Command Centre (SSCC).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan, Mohd Faizal Md Zain berkata, pencarian dimulakan 8.30 pagi bermula dari kawasan sungai Salak Selatan menghala ke muara Sungai Klang.

“Penggunaan dron untuk mengesan tubuh mangsa di kawasan permukaan air dan tebing sungai,” katanya.

Mohd Faizal berkata, operasi mencari dan menyelamat pada hari kedua diteruskan dengan keluasan kawasan seluas 6.5 kilometer.

“Pasukan mencari dan menyelamat turut menjalankan operasi di sekitar kawasan sungai Kerayong dan Sungai Klang,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak itu dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam longkang ketika bermain berhampiran lokasi itu 6 petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor dipetik berkata, mangsa dikatakan bermain bersama beberapa rakan sebelum terjatuh ke dalam longkang terbabit.

Berita berkaitan

Budak 9 tahun dikhuatiri lemas

Tumpu 2 kawasan [METROTV]

Mahu sambut hari lahir dengan badut

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 1:09 PM