SHAHROL Azral Ibrahim ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar
am@hmetro.com.my


AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mempunyai ramai kenalan golongan ternama dan boleh mengaturkan pertemuan dengan mereka termasuk bekas Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika sesi pemeriksaan balas.

Shahrol memberi keterangan dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Terdahulu, Muhammad Shafee merujuk kepada saksi kesembilan itu berhubung dokumen mengandungi senarai individu yang sepatutnya menganggotai Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Individu itu terdiri daripada CEO Mubadala Development, Khaldoon Khalifa Al-Mubarak; Pengerusi dan CEO Louis Vuitton SE, Bernard Arnault; bekas Pengerusi dan CEO ExxonMobil, Lee Raymond, bekas CEO General Electric, Jeffrey Immelt dan bekas CEO Walt Disney, Michael Eisner.

Bagaimanapun, menurut Shahrol, hanya Khaldoon, Arnault, Pengerusi CITIC Group Chang Zhenming dan Menteri Qatar, Sheik Hamad Jassim Jabar Al-Thani yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa itu.

SHAFEE: TIA mempunyai Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Tetapi tidak pernah mesyuarat diadakan?

SHAHROL: Ya. Antara sebabnya adalah sukar untuk mendapatkan masa yang sesuai. Kami ada membuat pelan, antaranya mesyuarat di Langkawi dan ada dokumen untuk mengesahkan perkara ini.

SHAFEE: Siapa yang sepatutnya mengaturkan mesyuarat itu?

SHAHROL: Pengurusan 1MDB.

SHAFEE: Semua nama ini dicadangkan oleh Jho Low?

SHAFEE: Ya.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa Jho Low sangat gemar dengan ‘nama besar’?

SHAHROL: Tidak setuju. Ini kerana ketika saya bertemu Khaldoon, beliau mengetahui dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa. Saya juga bertemu Arnault di Paris untuk menghantar surat pelantikan. Malah, Chang juga ada menjawab surat pelantikan.

SHAFEE: Arnault ada menjawab surat pelantikan?

SHAHROL: Tidak tetapi beliau ada menjawabnya secara lisan. Surat kepada Menteri Qatar diserahkan kepada Jho Low untuk dia menghantarnya.

SHAFEE: Jho Low mampu mengatur pertemuan dengan nama-nama besar ini?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Jho Low kenal rapat Khaldoon?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Malah Jho Low yang aturkan pertemuan Najib dengan Almarhum Raja Abdullah?

SHAHROL: Ya.

SHAFEE: Bagaimana dengan Putera Turki?

SHAHROL: Yang itu saya tidak tahu.

SHAFEE: Saya cadangkan bahawa Jho Low boleh menggunakan ‘jalan belakang’ untuk mendapatkan mereka?

SHAHROL: Berdasarkan pemerhatian saya, Jho Low mempunyai hubungan peribadi secara langsung dengan mereka.

SHAFEE: Ia bersandarkan persahabatan bukan hubungan rasmi?

SHAHROL: Ya.

Perbicaraan yang masuk hari ke-20 berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 12:22 PM