LEONG Cheok Keng (kiri) dan Leow Thye Yih. FOTO Arkib NSTP
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


POLIS Perak, setakat ini, tidak menerima maklumat atau laporan berhubung tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak yang dikatakan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas seperti yang tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya tidak terima maklumat adanya ADUN di Perak yang keluar parti hingga boleh mengakibatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) berlaku dalam masa terdekat.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh setakat ini hanya terdapat ahli DAP Perak yang meletakkan jawatan dalam parti yang tidak bertindak keluar parti atau menjadi wakil rakyat Bebas.

“Kita tiada maklumat ADUN DAP Perak keluar parti, cuma ada yang meletakkan jawatan dalam parti sahaja dan masih lagi di dalam kerajaan negeri serta dalam DAP, mereka cuma letak jawatan dalam DAP sahaja.

“Setakat ini hanya dua (letak jawatan dalam DAP) iaitu ADUN Malim Nawar dan Pokok Assam,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, hari ini.

Ditanya sekiranya PRN berlaku dalam tempoh terdekat, Razarudin berkata pihaknya sentiasa bersedia pada bila-bila masa.

“Jika PRN berlaku kita memang sedia bila-bila masa kerana buat masa ini kita dalam proses Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) terutama Pasukan Tempur Ringan (LSF) kita, dan pegawai-pegawai lain juga yang menjalani latihan secara berterusan.

“LDP ini adalah secara berterusan, jadi setiap masa kita bersedia,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan politik di Perak bergolak lagi dan kali ini lebih hangat hingga ke tahap mungkin berlaku PRN apabila terdapat khabar angin mengatakan beberapa ADUN daripada Pakatan Harapan (PH) keluar parti.

Penularan beberapa ADUN DAP Perak keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, termasuk Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mula tular semalam.

Turut tular surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak yang memberi kebenaran kepada permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan lawatan ke sekolah sebagai pusat mengundi dalam tempoh tiga bulan ini.

DAP Perak mula bergolak apabila beberapa ADUN parti itu tidak berpuas hati dengan Pengerusinya, Nga Kor Ming, yang didakwa mahu membincangkan jawatan EXCO disandang ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, dalam PH negeri.

Ia berikutan kedudukan Choo Kiong yang menghadapi tuduhan merogol pembantu rumahnya yang mana perbicaraan kes itu akan diadakan bulan depan.

Susulan itu, ADUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng bertindak meletak jawatan sebagai Timbalan Bendahari manakala ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih meletakkan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Organisasi DAP pada 11 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 10:20 AM