OPERASI terhadap premis yang dikesan dimiliki warga Pakistan di Bandar Baru Ayer Hitam.
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


BATU PAHAT: Berpura-pura masuk ke negara ini sebagai pelancong namun akhirnya didapati membuka perniagaan selain bergelar tauke kedai permaidani Pakistan.

Itu antara kegiatan 10 lelaki Pakistan yang ditahan hasil operasi Op Bersepadu Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Bandar Baru Ayer Hitam di sini, semalam.

Op Bersepadu bermula jam 3 petang itu menahan semua suspek warga Pakistan selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial serta permit kerja.

Yang Dipertua MDYP, Mohd Hanif Ahmad berkata, Operasi Bersepadu antara MDYP dan JIM dilakukan susulan aduan orang ramai yang meragui status pemilik premis berkenaan.

Katanya, selain meragui identiti pemilik premis itu, penduduk bimbang dengan kebanjiran warga Pakistan yang dilihat bertambah di daerah ini.

Berikutan itu, katanya, 20 anggota penguat kuasa kedua-dua agensi melakukan pemeriksaan terhadap lapan premis khususnya berkaitan lesen perniagaan dan pekerja di semua kedai permaidani itu.

“Hasil pemeriksaan ini, kami melakukan siasatan terperinci terhadap enam lesen diragui statusnya. Tindakan susulan akan dilakukan.

“Semua warga Pakistan yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan pasport dan permit kerja diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Hanif berkata, operasi sama dilakukan secara berterusan bagi mengesan kesalahan dilakukan peniaga sama ada peniaga luar negara atau tempatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kesalahan dilakukan peniaga boleh menghubungi kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 6:10 AM