MOHD Isa
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tiada kelulusan berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta dan ratifikasi pembelian mengikut had pelaburan RM100 juta diminta Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) di dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Shuhada, 62, berkata, beliau hadir pada mesyuarat yang dipengerusikan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad itu namun tiada sebarang kelulusan berhubung pembelian hotel berkenaan diminta ahli lembaga pengarah FICSB.

“Mohd Isa mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah itu dan boleh membuat keputusan dalam mesyuarat berkenaan serta boleh menentukan sekiranya kertas kerja cadangan boleh dibentangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah atau tidak,” katanya.

Hanapi berkata, walaupun tiada prosedur operasi standard (SOP) tertentu ditetapkan untuk mendapatkan kelulusan sekiranya pelaburan melebihi mandat, ahli lembaga FICSB perlu membentangkan kertas kerja.

“Kebiasaannya kertas kerja yang mengandungi latar belakang dan pandangan pakar mesti dibentangkan kepada ahli lembaga Felda.

“Kemudian barulah dibuat cadangan untuk diluluskan,” katanya.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata demikian pada perbicaraan hari ketiga terhadap Mohd Isa berhubung kes pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapinya, semalam.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz adakah Pengerusi Felda boleh tentukan sama ada kertas kerja boleh dibentangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Felda atau sebaliknya, Hanapi berkata boleh.

Menurutnya, sekiranya perlu, beliau akan memberi pendapat terhadap kertas kerja yang dibentangkan dan kemudian akan akur dengan sebarang keputusan Pengerusi Felda.

Dalam keterangannya juga, Hanapi berkata, sepanjang dilantik menjadi ahli lembaga pengarah Felda, mandat pelaburan RM100 juta tidak pernah dimansuhkan atau ditarik balik.

Hanapi turut bersetuju dengan peguam Datuk Sallehudin Saidin yang mewakili Mohd Isa bahawa SOP di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.

Katanya, sebelum ini ahli lembaga pengarah FICSB membuat keputusan mengikut cara tersendiri.

“Terpulang pada anak syarikat termasuk FICSB untuk maklum mengenai permohonan sedang dibuat atau untuk mendapatkan kelulusan,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh FICSB.

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 5:50 AM