Abdul Latif menunjukkan slop rokok yang ada logo cukai palsu. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PENGGUNAAN label setem palsu pada kotak rokok putih dan keretek kononnya cukai sudah dibayar tidak menjadi apabila dua lelaki tempatan ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah hari ini.

Kedua-duanya yang berusia 30-an itu ditahan ketika memandu van di kawasan Simpang Kuala, Alor Setar.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua lelaki itu pada 3.10 petang oleh sepasukan anggota risik AKSEM dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui 30 guni rokok yang mengandungi 1,700 slop lima jenis rokok pelbagai jenama.

“Pemeriksaan mendapati terdapat label setem pada luar karton kotak rokok yang kononnya sudah dibayar cukai.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan menggunakan alat pengimbas dari Kastam mendapati label setem itu adalah palsu yang bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Pejabat AKSEM Kedah hari ini.

Abdul Latif berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dari mana rokok itu diperolehi dan dua lelaki itu dipercayai diupah oleh syarikat penjualan rokok di sini.

Beliau berkata, harga sekotak kecil rokok berkenaan adalah RM5 dan dipercayai dijual di pasaran sekitar Alor Setar selain mendapat permintaan tinggi di kawasan kampung.

“Rokok ini dipercayai akan dipasarkan di kedai runcit sekitar Alor Setar termasuk juga di kawasan kampung.

“Nilai rampasan keseluruhan rokok termasuk cukai adalah RM430,000 dan akan diserahkan kepada Kastam untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut/membawa dan memindahkan barang belum lulus Kastam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:54 PM