Ahli keluarga Mohd Danish hadir di lokasi kejadian hari ini. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Hidayatul Akmar Ahmad dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my


“WALAUPUN bukan anak kandung, saya tetap sayang Mohd Danish seperti anak sendiri,” kata Isma Wahyuni Zulkifli, 25.

Isma Wahyuni adalah bapa tiri mangsa yang dikhuatiri lemas, Mohd Danish Supry Anthony, 10, yang terjatuh ke dalam

longkang ketika bermain bersama rakannya di Bukit Permai, Ampang semalam.

Menurut Isma, dia dan isteri Noor Fara Wahida Mohd Noor, 34, sudah merancang mengadakan sambutan hari lahir Mohd Danish 25 November ini.

“Ketika menghadiri sambutan hari jadi rakan isteri, dia menyatakan mahu sambutan hari lahirnya diraikan bersama badut.

“Saya dan isteri bersetuju memenuhi permintaannya namun tak sangka begini akhirnya,” katanya ketika ditemui di lokasi di Taman Bukit Teratai, Ampang hari ini.


Pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari Mohd Danish di Taman Bukit Teratai, Ampang. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Isma berkata, sehari sebelum kejadian, dia tidak sedap hati namun enggan melayan perasaannya.

“Sejak malam sebelum kejadian, saya rasa tak sedap hati namun saya hanya diamkan saja sehinggalah saya menerima panggilan telefon daripada bapa saudara menyatakan anak terjatuh dalam longkang.

“Ketika itu, saya berada di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Bangi sebelum bergegas pulang,” katanya yang berharap anak tirinya itu segera ditemui.

Beberapa wakil daripada Pejabat Parlimen Pandan turut mengadakan bacaan Yassin di lokasi operasi pencarian terbabit.


Mohamad Danish yang terjatuh ke dalam longkang di Jalan Teratai, Ampang semalam. FOTO Ihsan Pembaca

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) memberi fokus pencarian sekitar kawasan perangkap sampah bagi mengesan lokasi kanak-kanak lelaki itu.

“Operasi SAR ini membabitkan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dengan menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan dron.

“Pada masa sama, kami turut membuka sebuah pos kawalan bagi operasi SAR berhampiran sebuah stesen minyak di Cheras Indah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kanak-kanak itu dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam longkang ketika bermain berhampiran lokasi itu 6 petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor dipetik berkata, mangsa dikatakan bermain bersama beberapa rakan sebelum terjatuh ke dalam longkang terbabit.

Berita berkaitan

Budak 9 tahun dikhuatiri lemas

Tumpu 2 kawasan [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 6:30 PM