Faliq Lajim
faliq.lajim@nstp.com.my


NASIB Kumpulan Utusan masih samar apabila semua kakitangannya diminta untuk bercuti sehingga 30 Oktober ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia Cawangan Utusan, Mohd Taufek Razak berkata, sehingga kini tiada surat pemberhentian kerja diberikan kepada kakitangan Utusan.

Menurutnya, hanya memorandum pekeliling ‘Pemberhentian Operasi Perniagaan Syarikat’ dikeluarkan oleh Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir.

“Dalam surat itu, pihak syarikat berkata akan menutup operasi susulan bangunan kami (Kumpulan Utusan) sudah pun disita. Jadi, hari ini, semua kakitangan Utusan diminta untuk mengosongkan bangunan di Jalan Off Jalan Chan Sow Lin termasuk di semua biro seluruh negara.

“Jadi kami tidak boleh lagi boleh operasi kerana pihak pelikuidasi sudah datang hari ini. Kami diberi masa sehingga esok untuk kemas barang dan akan dicutikan sehingga 30 Oktober.

“Pada 30 Oktober nanti, pihak pelikuidasi akan bagi taklimat tentang kedudukan Utusan. Semua akan diterangkan di situ sama ada masih boleh operasi, diserapkan atau, dibayar pampasan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di bangunan Utusan, Jalan Chan Sow Lin, hari ini.

Menurutnya, walaupun begitu, pihak syarikat bersetuju untuk membayar gaji sehingga 31 Oktober.

“Gaji yang terakhir diterima oleh kakitangan Utusan adalah pada 4 Oktober lalu (gaji bulan Ogos). Manakala, proses ‘claim’ masih dalam proses.

“Manakala bagi bulan September dan Oktober masih belum dijelaskan. Bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan lain-lain lagi difahamkan masih tertunggak namun akan dibayar secara ansuran,” katanya.

Terdahulu, satu memorandum pekeliling perkara Pemberhentian Operasi Perniagaan Syarikat dikeluarkan oleh Pengerusi Eksekutif Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir kepada semua kakitangan Kumpulan Utusan.

Dalam memorandum itu, Abd Aziz berkata, syarikat itu memberhentikan operasinya berkuat kuasa, hari ini berikutan gagal membayar gaji pekerja mengikut masa selain syarikat berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang.

“Sehubungan itu, Lembaga Pengarah Utusan pada Isnin lalu meluluskan cadangan Penggulungan Sukarela Pemiutang (Creditors’ Voluntary Liquidation) dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai Pelikuidasi Interim (Interim Liquidator).

“Langkah ini terpaksa diambil oleh kerana Lembaga Pengarah berpendapat bahawa Syarikat tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

“Oleh yang demikian, syarikat akan memberhentikan operasi berkuat kuasa pada Rabu, 9 Oktober 2019 (hari ini).

“Sehubungan dengan itu, tarikh akhir bekerja tuan/puan (pekerja Kumpulan Utusan) sudah ditetapkan pada Rabu, 9 Oktober 2019 manakala tarikh akhir perkhidmatan ialah pada Khamis, 31 Oktober 2019 ,” katanya.

Memorandum itu turut menyebut, kelayakan untuk faedah penamatan kerja adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan ini akan dikendalikan oleh pihak pelikuidasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 3:53 PM
SUASANA dalam pejabat Utusan Malaysia. FOTO Mustaffa Kamal