Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


TIDAK sampai lima minit. Itu masa yang diperlukan untuk melarikan kenderaan mewah oleh ahli sindiket curi kenderaan di Selangpr, sejak tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, kegiatan penjenayah profesional ini tidak bertahan lama selepas dicekup sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Lejang Mewah Toda pada pertengahan bulan lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, enam suspek lelaki dan dua wanita warganegara asing berusia 36 hingga 52 tahun dipercayai anggota sindiket berkenaan ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri ini.

Menurutnya, polis turut merampas empat kenderaan pelbagai guna (MPV) selain tiga kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta.

“Selain itu, polis merampas pelbagai peralatan digunakan sindiket untuk mencuri kenderaan termasuklah alat kawalan jauh, alat ‘jammer’, ‘smart key programmer’, ‘master key’, komputer riba dan cukai jalan palsu.

“Semua kenderaan yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM2 juta dan semua suspek masih ditahan reman untuk siasatan selanjutnya,” katanya pada sidang media di IPK Selangor di Shah Alam, hari ini.


NOOR Azam (dua kiri) menunjukkan alat mencuri kereta pada sidang media. FOTO Roslin Mat Tahir

Mengulas lanjut, Noor Azam berkata, mulai Januari hingga September lalu, 80 kes kecurian kenderaan mewah dilaporkan berlaku di negeri ini.

Katanya, sehingga kini 15 suspek membabitkan tiga sindiket ditumpaskan pihak polis dengan 12 kenderaan mewah yang dicuri ditemui semula.

“Saya ingin menasihatkan kepada semua pemilik kenderaan supaya mengambil langkah keselamatan tambahan termasuk memasang kunci stereng atau ‘paddle lock’ meskipun ketika berhenti pada waktu yang singkat.

“Ia akan menjadikan tugas penjenayah ini bertambah rumit untuk melarikan kenderaan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 2:30 PM
NOOR Azam (tiga kanan) menunjukkan kenderaan mewah yang dirampas daripada sindiket curi kenderaan. FOTO Roslin Mat Tahir