FOTO Hiasan
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


LELAKI Indonesia dipenjara tiga bulan dan didenda RM30,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya, atas kesalahan menyimpan 23 burung murai batu iaitu hidupan liar dilindungi tanpa lesen.

Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah memerintahkan Patrum, 51, dihukum penjara bermula dari tarikh tangkapan dan jika tidak membayar denda, penjara selama enam bulan.

Terdahulu dalam prosiding berkenaan, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan 23 burung murai batu (copsychus malabaricus) iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716], tanpa suatu lesen yang melebihi 20 kepala.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Gate Q7, Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang, 3 petang, 5 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan satu kesalahan mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama akta berkenaan.

Berdasarkan hukuman, denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau dengan pemenjaraan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Abd Aziz Mohd Yasin manakala tertuduh diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh dan Low Henn Kai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 1:27 PM