FOTO Hiasan. Vaksin untuk mencegah rabies
Mohd Roji Kawi
mdroji@bh.com.my


KADAR gigitan haiwan peliharaan khususnya anjing dan kucing terhadap manusia di Sarawak tidak menunjukkan penurunan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membendungnya sejak wabak rabies atau penyakit anjing gila dikesan di negeri itu, tiga tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara purata sebanyak 40 hingga 60 kes gigitan haiwan peliharaan itu dilaporkan setiap hari.

Beliau berkata, jumlah itu hampir sama dengan yang direkodkan pada tahun pertama wabak rabies dikesan pada 2017.

“Wabak rabies diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017, namun bilangan kes gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing masih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tahun ini sebanyak lima kes disahkan rabies dalam kalangan manusia dikesan.

“Kes terbaharu adalah pada 21 Ogos lalu membabitkan seorang lelaki berumur 64 tahun dari sebuah rumah panjang di Mukah.

“Sejak 1 Julai 2017 sehingga 3 Oktober 2019, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia adalah 21 orang,” katanya.

Katanya lagi, 20 daripada pesakit yang disahkan dijangkiti virus rabies sudah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang masih hidup.

“Kanak-kanak itu yang kini berumur sembilan tahun mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies,”katanya.

Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai bahawa jangkitan rabies boleh dielakkan jika luka gigitan dicuci segera dengan sempurna bagi menghilangkan air liur haiwan.

“Selepas itu, mangsa gigitan hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 10:00 AM