ANTARA mangsa yang dibantu ketika banjir di daerah Baling. FOTO IHSAN APM
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


SERAMAI 145 mangsa daripada 49 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar daerah Baling selepas Sungai Ketil melimpah, hari ini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, sehingga 6 pagi ini, 139 mangsa dipindahkan ke Kompleks Rakan Muda Batu 42 manakala enam mangsa ke Dewan Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, hujan lebat selama lima jam sejak 6 petang menyebabkan paras air di Rumah Pam Pulai berada di paras bahaya dengan catatan 50.75 meter.


“Antara kampung yang terbabit Kampung Pantai, Tanjung Merbau dan Lubuk Pedati.

“Mangsa mula berpindah sejak 12 tengah malam sehingga 6 pagi hari ini selepas air mulai naik dan memasuki rumah penduduk,” katanya.

Shamsul Izrin berkata, ini adalah kejadian banjir yang kedua melanda daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 8:37 AM