Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SEBANYAK 13,203 jersi dan jam tangan tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM664,000 dirampas dalam serbuan di tiga premis yang dijadikan stor di sebuah pusat beli belah di Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Pencegahan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Suhaimi Mat Sari berkata, sepasukan pegawai daripada Pejabat KPDNHEP Kuala Lumpur dan Selangor selain wakil daripada pemilik cap dagang berdaftar membuat serbuan di lokasi itu 12 tengah hari.

“Pemeriksaan terhadap tiga premis itu mendapati barang disyaki tiruan berjumlah 13,203 unit terdiri daripada jam tangan dan jersi dianggarkan RM664,000 yang menggunakan perihal dagangan palsu.

“Antara jenama yang tertera pada jersi terbabit adalah Puma, Nike, Adidas, Under Armour, Al-Ikhsan serta Abstrax manakala bagi jam tangan jenama seperti Casio, G-Shock, Gucci dan Channel,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Turut hadir dalam serbuan itu Pengarah KPDNHEP Kuala Lumpur Ariffin Samsudin.

Suhaimi berkata, pihaknya turut menahan dua wanita dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis berusia lingkungan 30-an untuk membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati premis itu dijadikan stor menyimpan barangan tiruan sejak setahun lalu.

“Kami percaya sindiket ini boleh mengaut keuntungan lebih 100 peratus hasil penjualan jersi terbabit yang dijual pada harga RM50 berbanding harga asal antara RM100 hingga RM200,” katanya.

Beliau berkata, bekalan barangan tiruan itu dipercayai diperoleh daripada negara jiran untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Sementara itu, 103 kes mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 direkodkan KPDNHEP di Kuala Lumpur bagi tempoh Januari lalu hingga hari ini.

“Setakat ini, 31 individu ditahan membabitkan lapan warga tempatan dan 23 warga asing.

“Daripada 103 kes direkodkan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, 74,990 unit barangan disita bernilai RM2,637,182,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:55 PM
ANTARA barang rampasan dalam operasi hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq