BOMBA mengepam air dari lubang kumbahan berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


LUBANG kumbahan di Kuarters Balai Polis Pasir Puteh, di Ipoh, sememangnya ditutup sepanjang masa.

Namun, ia dipercayai dibuka oleh kumpulan kanak-kanak termasuk empat beradik sehingga seorang daripadanya maut selepas lemas akibat terjatuh ke dalam lubang itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati penutup lubang itu adalah jenis yang boleh dibuka dan pemantauan sebelum ini mendapati ia sentiasa tertutup.

“Lubang itu bertutup dan ia dipercayai dialihkan oleh kumpulan kanak-kanak petang semalam yang bermain di kawasan berkenaan, jadi lubang itu bukan dibiarkan tanpa ditutup.

“Siasatan mendapati lubang itu tidak ditutup sejak petang semalam dan ia adalah satu kemalangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, Muhamad Anas Hadif Ahmad Hafiz ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang kumbahan ketika bermain dengan dua lagi abangnya di kawasan kuarters berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.16 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki terjatuh ke dalam lubang kumbahan sebelum anggota menggunakan pam untuk mengeluarkan air kumbahan bagi memudahkan mayat dikeluarkan.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan jam 9.36 pagi,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Budak maut dalam lubang kumbahan
  • Tangisan tiga beradik
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 2:11 PM