KELUARGA tukang paip, Mahmud Rahman Shariff, 47, kembali ceria dengan kepulangan isteri, Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, bersama anak, Mohd Aiman Syukur ,9, (kanan) dan Mahnas Hibatullah Syazana, 4, di Bandar Sri Behrang. FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin
am@hmetro.com.my


“SAYA gembira sebab emak sudah pulang dan berada di depan mata sekarang,” kata Mohd Aiman Syukur Mahmud Rahman, 9, yang teruja menyambut kepulangan ibunya, Habibuneesa Mohamed Ismail sebaik tiba di rumah mereka di Behrang, 5.30 petang semalam.

Habibuneesa, 36, adalah isteri seorang tukang paip, Mahmud Rahman Shariff, 47, yang dilaporkan diculik dan dikurung selama tiga bulan di Tamil Nadu, India, ketika melawat saudaranya di negara itu, pada 29 Jun lalu.

Mohd Aiman Syukur berkata, lebih tiga bulan dia dan adiknya, Mahnas Hibatullah Syazana, 4, terpisah dengan ibu mereka selepas Habibuneesa ke India bersama ibu saudara dan sepupunya.

“Syukur ibu selamat sampai dan saya tidak mahu berenggang dengan ibu lagi.

“Sepanjang ibu hilang dan diculik, memang saya risau takut perkara buruk terjadi pada ibu serta ayah pula tidak ceria macam selalu.

“Hari ini, saya lihat adik dan ayah nampak sangat gembira terutama adik asyik peluk ibu kerana terlalu rindu pada ibu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibuneesa ditemani Mahmud Rahman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 3 petang semalam selepas dilaporkan hilang sejak 29 Jun lalu, sebelum dibebaskan oleh penculiknya, 12 September lalu.

Pasangan itu dijemput oleh Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santharasekaran di KLIA dan terus menghantar mereka pulang ke rumah.

Mahmud Rahman pula berkata, dia gembira kerana isteri sudah selamat dibawa pulang dan kini keluarga mereka bersatu kembali.

“Inilah hari yang paling istimewa buat kami sekeluarga selepas diuji dengan dugaan yang paling besar sehingga kadang kala saya terasa tidak mampu menanggungnya,” katanya.

Mahmud Rahman berkata, dia juga sayu apabila melihat gelagat dua anaknya itu yang seolah-olah tidak sanggup lagi terpisah dengan ibu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 1:15 PM
Skip this ad x