HANNAH Sarah menyiapkan tempahan pelanggan membuat pagar rumah dan pintu jeriji besi, di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


BIARPUN kerja sebagai jurukimpal tidak popular, namun ia menjadi pilihan seorang wanita di Rantau Panjang, sebagai pekerjaan.

Hannah Sarah Nordeen, 23, yang tinggal di Kampung Kubang Kual berkata, dia menjadi jurukimpal sejak enam tahun lalu kerana minatnya terhadap pekerjaan lasak.

Wanita ini berkata, dia mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Bercerita lanjut, dia berkata, selepas berkahwin dengan Shafie Mamat, 35, dia terus mempelajari teknik mengimpal besi dengan niat mahu mencari rezeki.

“Pada awalnya kerja mengimpal besi sangat rumit kerana saya perlu memotong besi untuk menjadikan bentuk dan ukuran yang dikehendaki.

“Alhamdulillah, dalam masa tiga bulan saya mampu melakukan sendiri kerja mengimpal besi termasuk untuk membuat pagar rumah, tangga dan pintu jeriji besi.

“Kerja sebagai jurukimpal juga tidak mempunyai masa yang tetap kerana ada masanya saya perlu bekerja lebih masa sehingga jam 10 malam untuk menyiapkan tempahan atau memasang pintu jeriji besi yang ditempah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, dengan pekerjaan itu dia mampu membeli keperluan dirinya serta memberi wang bulanan kepada ibunya, Hanisah Abdul Hamid, 55, sebanyak RM250 sebulan.

“Walaupun, orang anggap kerja ini kotor kerana bergelumang dengan minyak hitam dan elektrik, namun ia menghasilkan kepuasan serta pendapatan lumayan.

“Ada orang melihat wanita mengimpal besi ini sesuatu yang pelik, namun bagi saya tidak kira lelaki atau wanita, kita masing-masing mempunyai kelebihan untuk melakukan pekerjaan yang diminati.

“Kita perlu berusaha untuk mencari wang demi kelangsungan hidup. Pada masa ini, kita tidak boleh memilih pekerjaan dan lakukan apa sahaja asalkan memperoleh pendapatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 10:05 AM