TUKANG paip, Mahmud Rahman Shariff, 47, bersama isterinya, Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, yang dilaporkan hilang dan diculik di India pada 29 Jun yang lalu selamat sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin
cnews@nstp.com.my


ISTERI tukang paip yang dilaporkan diculik dan dikurung hampir tiga bulan di Tamil Nadu, India sebelum dibebaskan bulan lalu, selamat tiba di tanah air, hari ini.

Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 3 petang tadi sambil ditemani suaminya, Mahmud Rahman Shariff, 47, kelihatan gembira dan bersyukur dapat menjejakkan kembali kaki ke Malaysia.

Habibuneesa disedari hilang ketika berada di rumah saudaranya di Pandaravadai, Papanasam, Tamil Nadu, kira-kira 3 pagi waktu India pada 29 Jun lalu.

Suri rumah itu pergi ke India bersama ibu saudaranya yang dikenali sebagai Nur Jihan, 38, dan sepupunya, Yunus Shukri, berusia empat tahun, pada 24 Jun untuk melawat saudara mara sebelum dilaporkan hilang lima hari kemudian.

Penculik dilaporkan meminta wang tebusan RM10,000, namun membuat keputusan membebaskan wanita itu pada 12 September lalu selepas permintaannya itu tidak dipenuhi.

Mahmud kemudian berlepas ke India pada 24 September lalu untuk menguruskan kepulangan Habibuneesa, dan difahamkan tukang paip itu dimasukkan ke wad di Hospital Chennai selama dua hari akibat tidak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan cuaca di negara itu.

Habibuneesa berkata, dia bersyukur diberi peluang kedua untuk bertemu dengan ahli keluarganya kerana sebelum ini hampir putus harapan sepanjang lebih dua bulan menjadi tahanan kepada lelaki warga India di negara berkenaan.

Katanya, sepanjang berada dalam tahanan, dia dikurung dalam bilik sehingga mengalami tekanan perasaan kerana bimbangkan keselamatan dan teringat keluarga di sini terutama suami serta dua orang anaknya.

“Inilah kali pertama dan terakhir saya mengunjungi rumah saudara di India dan peristiwa diculik ini menjadi sejarah hitam yang akan sentiasa diingati dalam hidup saya.

“Semua yang terjadi ini menjadi pengajaran kepada saya dan diharapkan menjadi peringatan kepada orang lain ketika berkunjung ke negara orang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketibaan pasangan itu disambut dan dijemput oleh Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santharasekaran yang menjadi tulang belakang membantu pasangan berkenaan.

Mahmud pula bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan India serta pihak media terutama BH dan Harian Metro yang menyiarkan berita Habibuneesa sejak dilaporkan hilang di India.

Katanya, berita yang disiarkan itu banyak membantunya ketika menguruskan kes kehilangan isterinya dengan pihak berkuasa tempatan dan luar negara.

Berita berkaitan:

  • Lelaki tuntut RM10,000, isteri dakwa dikurung
  • Isteri tukang paip selamat
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:35 PM