BANGKAI gajah Pygmy yang ditemui di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan. FOTO arkib NSTP
Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


FELDA mengesahkan penahanan seorang pegawainya dan dua peneroka berhubung insiden menembak mati seekor gajah Pygmy di Sungai Udin, Tawau, Sabah.

Unit Komunikasi Korporat (UKK) FELDA berkata, pihak pengurusan kini bekerjasama rapat dengan polis bagi membantu siasatan.

Katanya, pengurusan FELDA sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya kakitangan dan peneroka didapati bersalah dalam insiden berkenaan.

“Kami ingin menegaskan perbuatan membunuh haiwan adalah bertentangan sama sekali dengan Dasar Perlindungan dan Penjagaan Alam Sekitar yang menjadi sebahagian daripada 15 Polisi Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) yang menjadi amalan FELDA.

“Pihak pengurusan FELDA juga melaksanakan amalan prosedur standard (SOP) dalam aspek kawalan hidupan liar termasuk gajah yang sering berlaku di kawasan FELDA.

“Ini membabitkan penggunaan pagar elektrik dan parit serta amalan pemindahan gajah jika diperlukan tanpa mengancam nyawanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, FELDA juga secara aktif menjalin kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) dalam menyediakan latihan dan seminar kepada petugas.

“Ia untuk meningkatkan kemahiran dan kesiagaan dalam menangani ancaman hidupan liar di ladang.

“Kami sentiasa mematuhi semua garis panduan dan undang-undang berkaitan pemeliharaan alam sekitar sebagai manifestasi komitmen FELDA bagi memastikan aspek pengurusan ladang dilaksanakan secara lestari.

“Ini dapat dibuktikan di mana sehingga kini, 163 Rancangan FELDA berjaya mendapat pensijilan MSPO selepas memenuhi aspek akreditasinya termasuk pematuhan kepada polisi berkaitan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan enam suspek kes pembunuhan kejam seekor gajah Pygmy Borneo di hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, dekat Tawau, baru-baru ini, disambung reman dua hari lagi, sehingga lusa.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, permohonan untuk menyambung reman terhadap semua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Tawau selepas tempoh reman empat hari sebelum ini berakhir hari ini.

Pada 2 September lalu, polis menahan suspek dalam serbuan di FELDA Umas dan merampas selaras pump gun, raifal dan bakakuk buatan sendiri, peluru hidup dan kelongsong peluru.

Motif pembunuhan gajah dipercayai untuk mengambil gading, selain mengikut arahan menjaga kawasan daripada dicerobohi hidupan liar kerana suspek digaji khas bagi menjaga kemasukan haiwan ke kawasan ladang.

Berita berkaitan

Reman pembunuh gajah Pygmy dilanjutkan

Empat ditahan susulan kematian gajah

Ganjaran RM30,000 heret pembunuh gajah pgymy

Mati terseksa, 70 peluru dalam badan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 4:10 PM