Idris Musa
idris@hmetro.com.my

KERAJAAN merancang mewujudkan peluang latihan bagi anak muda supaya mereka dapat menggunakan peluang yang diberi kepada golongan itu dengan berkesan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada masa ini kita dapati walaupun peluang terdapat dengan banyaknya di negara kita, kita masih bergantung kepada pekerja asing untuk datang ke Malaysia bekerja.

“Walaupun kerja itu bukan kerja yang berat sangat, tetapi kita dapati bahawa ada pemilihan oleh anak muda mengenai kerja yang mereka akan lakukan.

“Sebab itu kita mempunyai aneka jenis latihan termasuk TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan lain-lain supaya mereka lebih bersedia untuk bekerja dalam peluang kerja yang akan diwujudkan.

“Dengan itu kita percaya bahawa kemiskinan di kalangan anak muda akan berkurangan,” katanya yang turut menjelaskan kerajaan sedar kemiskinan dalam kalangan anak muda lebih daripada purata kemiskinan dalam masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanya sama ada paras kemiskinan tertumpu kepada anak muda dan indeksnya mengambil kira demografi luar bandar dan bandar.

Dr Mahathir berkata, apabila anak muda terbabit masuk dalam pasaran buruh, mereka terpaksa mendapat upah yang rendah berbanding pihak lain tetapi lama-kelamaan selepas mendapat pengalaman dan kecekapan, soal kemiskinan dalam kalangan mereka dapat dikurangkan.

“Soal kemiskinan dalam bandar juga akan diberi perhatian, tetapi kemiskinan dalam bandar berbeza dengan kemiskinan di luar bandar.

“Dalam bandar terdapat lebih banyak peluang untuk bekerja, sebab itu mungkin kita dapat mengurangkan kemiskinan dalam bandar lebih awal daripada kemiskinan di luar bandar.

“Ini mungkin akan menyebabkan perbezaan pendapatan antara bandar dengan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama ialah supaya mengurangkan jurang pendapatan antara bandar dengan luar bandar.

“Sebab itu tumpuan akan diberi kepada kawasan luar bandar kerana mereka agak sukar untuk menikmati peluang yang diberikan kepada mereka tanpa latihan dan pengalaman,” katanya.

Kepada soalan tambahan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin mendapatkan sedikit gambaran dalam Belanjawan 2020 nanti yang akan membantu menangani masalah kemiskinan, Dr Mahathir berkata, kerajaan mempunyai dana yang tidak mencukupi untuk pembangunan biasa.

“Oleh kerana itu kita perlu tentukan keutamaan kita, yang mana nak diutamakan, yang mana nak dibelakangkan,” katanya.

Katanya, beliau yakin dalam belanjawan yang akan datang ini agihan peruntukan akan lebih tertumpu kepada kawasan di mana kemiskinan menjadi perkara yang ketara di kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 1:35 PM
    TUN Dr Mahathir menjawab soalan pada sesi soal jawab Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali