ANGGOTA bomba memindahkan mangsa di Kampung Bendang Sira yang dilanda banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


PARAS air Sungai Ketil pada paras bahaya menyebabkan Kampung Bendang Sira di Baling ditenggelami banjir kilat, hari ini.

Berikutan itu, anggota Bomba dan Penyelamat memindahkan tiga mangsa dari sebuah rumah yang ditenggelami air akibat banjir kilat melanda kampung itu hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan 6.26 petang berhubung kejadian banjir kilat di kampung berkenaan.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Fauzi Baharum tiba di lokasi 6.27 petang bersama dua jentera.

“Setibanya di lokasi mendapati paras air di kawasan itu setinggi satu meter hingga ke paras pinggang.

“Banjir kilat di kawasan itu menjejaskan tiga rumah, namun hanya sebuah keluarga dari satu rumah yang terperangkap,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi memindahkan keluarga berkenaan iaitu seorang wanita dan dua kanak-kanak sedang dilakukan ke lokasi selamat.

Beliau berkata, penghuni di dua rumah lagi berjaya menyelamatkan diri.

Setakat ini, dua pusat pemindahan di buka di Baling iaitu di Surau Kampung Seri Ketengga dan Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu Lapan menempatkan 50 penduduk membabitkan 14 keluarga.


ANGGOTA bomba membantu memindahkan penduduk yang terjejas akibat banjir kilat. FOTO Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 11:32 PM