GAJAH liar musnahkan tanaman kelapa pandan, pisang serta pokok kelapa sawit, di Batu 17, Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim
am@hmetro.com.my


SEKUMPULAN lima hingga tujuh gajah liar memusnahkan kelapa pandan, pisang dan kelapa sawit ditanam seorang pekebun di Batu 17, Kahang dekat Kluang, semalam.

Pekebun yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 50-an, berkata, kejadian itu disedarinya ketika datang ke kebun untuk kerja pembersihan, namun terkejut apabila mendapati tanaman di atas tanah seluas empat hektar ‘dibersihkan’ gajah liar.

Katanya, ia adalah kejadian kali pertama sejak mengusahakan kebunnya kira-kira lima tahun lalu dan melihat kemusnahan yang berlaku dia percaya ia dilakukan lebih daripada lima gajah.

“Saya tidak tahu berapa kerugian yang terpaksa ditanggung kerana semua tanaman sudah besar dan masing-masing mula mengeluarkan buah, malangnya tidak sempat dituai untuk dijual kepada pemborong.

“Saya juga tidak menyangka kebun kecil ini mendapat perhatian gajah kerana tidak jauh dari sini ada kebun kelapa sawit yang sudah besar dan tinggi,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, percaya serangan itu berlaku kira-kira 12 tengah malam sebelum beredar ke dalam hutan berhampiran.

Katanya, dapat melihat kesan tapak kaki gajah yang ditinggalkan dan menuju ke kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor, Salman Saaban ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyiasat dakwaan itu kerana masih belum menerima laporan daripada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 7:17 PM